Thursday, December 4, 2014

Cinta aku bukan 100%


Aku selalunya agak kurang sikit nak bercakap pasal topik cinta lebih-lebih lagi kisah sendiri. Aku tahu topik macam ni paling ramai buat orang menyampah selain topik mengampu diri sendiri. Seumur hidup aku, aku cuma pernah bercouple sebanyak dua kali setakat ni. Aku jenis yang setia tapi bila aku dah jatuh cinta dengan orang lain, aku lebih suka berterus-terang untuk break dengan yang lain sebab aku paling benci curang dan menipu. Aku juga jenis yang mudah cintakan seseorang sepenuh perasaan yang boleh sanggup bermati-matian tapi bila pasangan tidak semesra macam first-first bercouple dulu, perasaan aku pun boleh berkurang kadang-kadang sampai tak ada perasaan langsung. 

Jadi, apa yang pasangan aku beri pada aku, aku akan balas sama nilai atau kurang sikit dari pasangan aku ni tadi selagi belum berkahwin. Dan kalau kahwin? Aku rasa aku macam tak pernah bersedia sekarang ni walaupun perkahwinan tu membahagiakan. Aku tak mahu kahwin dengan salah orang dan aku tak mahu tergesa-gesa seolah-olah macam terdesak. Walaupun umur meningkat, serious aku bukan jenis kelam-kabut mencari jodoh. Kalau boleh aku rela tak kahwin selagi tak jumpa seseorang yang aku rasa sesuai dengan aku. 

Jadi apa motif aku dengan lelaki yang bersama dengan aku sekarang ni? Aku sendiri kurang jelas. Aku bukan bermaksud aku tidak cintakan dia tapi perasaan tu makin hari makin kurang makin hilang. Apa yang membuatkan aku dapat bertahan dengan dia adalah dendam aku pada mak dia seperti mana aku akan cuba merealisasikan mimpi ngeri mereka setelah mereka menghancur sehancur-hancurnya hati baik aku suatu ketika dulu. Aku pernah cuba untuk cintakan balik lelaki tu macam kami mula-mula bercouple dulu tapi dia sendiri bersikap acuh tak acuh, aku pun malas nak beriya-iya. 

Apa yang penting adalah lelaki tu sendiri. Kalau dia tidak memainkan peranan sepatutnya, aku tak akan terhegeh-hegeh hendakkan dia. Sebab tu, aku tak suka pengorbanan tu dirahsiakan dari aku seperti perasaan juga. Kalau cinta, tunjukkan perasaan tu. Kalau tidak, patut juga tunjukkan supaya kita tahu kemana hala tuju kita nanti. Kalau ia perlu dibaik pulih, usahakan. Kalau kurang, cari masa untuk tambahkan. Bukan tiap-tiap hari update dekat Facebook mengatakan kita bahagia bersama pasangan atau suami sedangkan bahagia tu hanya untuk jangka masa sekejap. 

Aku ingat dulu aku dah nak tutup pintu hati aku untuk lelaki itu kononnya yang terakhir tapi, belum lagi rasanya. Makin lama, makin jelas sikap sebenar masing-masing dan aku rasa aku tak dapat terima sebahagian daripada sikap itu. Aku bukan mencari kesempurnaan, aku cuma mahu jaminan di masa depan aku. Aku tak mahu ketawa sekarang, menangis kemudian sambil dikelilingi tangisan anak-anak kecil yang masih perlukan kasih sayang ibubapa.



Hal cinta adalah hal remeh-temeh. Betul, namun bila kita mengalirkan air mata kerana cinta, itu bukan lagi bermaksud hal remeh. Ia akan jadi masalah kita yang paling berat pada masa itu. Sama seperti perkahwinan, ia indah tapi bila salah membuat pilihan, ia akan jadi mimpi buruk. Jadi memilih pasangan bukan macam memilih pakaian, kita pilih pasangan untuk berkongsi masalah kita, berkongsi sakit kita, berkongsi bercerita di bilik tidur, berkongsi privasi, yang boleh melihat kita berbogel sepenuhnya dengan parut luka dan lemak sana-sini tapi masih menerima kita seadaanya. 


No comments: